HJ. SHAARI HJ. MOHD YUSOF

2012

Jam dinding menunjukkan pukul 4.33 pagi tanggal 25 Oktober, bersamaan hari Khamis. Terlintas untuk mengarang bab ingat kepada Allah. Sebelumnya rasa lebih baik saya panaskan badan dahulu dengan secawan milo yang dibeli dua hari lepas. Selepas meneguk milo yang baru dibuat, entah mengapa pagi ini hati saya tiba-tiba tersangat ingat kepada arwah kedua ibu bapa. Tanpa dapat dibendung, kelopak mata bergenang dengan air mata. Saya gagahkan juga jejari ini untuk terus mengarang rencana yang tidak seberapa ini. Mudah-mudahan roh kedua ibu bapa saya bangga dengan apa yang saya perjuangkan selama ini. Duhai ayahandaku yang tercinta, kini anakandamu akan terus menyambung hajatmu yang tidak kesampaian.

Inilah tajuk yang teramat besar untuk dimengerti oleh sekalian yang bergelar insan iaitu bagaimana caranya untuk ingat kepada Allah SWT. Marilah pada pagi yang mulia ini, saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan-puan supaya sama-sama kita menyeberang lautan ilmu yang tidak bertepi, agar suatu hari nanti, kita beroleh sampai ke persisiran pantai ingat kepada Allah SWT.

INGAT ALLAH BUKAN PADA NAMANYA

Ingat kepada Allah itu, bukan dengan cara menyebut-yebut nama. Ingat kepada Allah itu, bukan dengan cara membilang-bilang kebesaran-Nya, juga ingat kepada Allah itu, bukan dengan cara mengira-gira puji-pujian kesucian. Allah tidak makan dipuji. Allah tidak terpengaruh dengan puji-pujian, sogokan atau ampu dari makhluk. Allah itu bersifat Maha Terpuji dan Maha Suci, yang tidak perlu kepada usaha makhluk untuk mensucikan akan Dia. Allah tidak perlu dibersih atau dicuci, kerana Allah itu sudah sedia suci dan sudah sedia bersih. Allah itu, tidak sedikitpun termakan bujukan serta rayuan makhluk. Allah tidak terpengaruh dengan mimik muka sedih, tidak terpengaruh dengan linangan air mata makhluk. Allah itu sifatnya berdiri dengan kakinya sendiri (kiamuhu binafsih), tanpa terpengaruh dengan bujuk rayu makhluk. Sekalipun nama Allah itu, dipuja atau dipuji, tidak sekali-kali bertambah kerajaan Allah dan sekiranya nama Allah itu tidak sekali-kali disebut-sebut oleh bibir mulut makhluk, sedikitpun tidak berkurangan kerajaan Allah.

Ingat Allah itu, bukan dengan cara menyebut-yebut nama-Nya. Pada asalnya Allah itu, tidak bernama dan tidak bergelaran apa-apa panggilan. Panggilan nama Allah itu, tercipta dan terpanggil sesudah keberadaan Nur Muhammad. Sebelum kejadian Nur Muhammad, Allah tidak bernama. Setelah terciptanya Nur Muhammad, barulah nama Allah itu terpanggil dan tersebut. Tetapi harus diingat bahawa Allah itu, bukan nama panggil-panggilan. Semasa Allah bersendirian, semasa sebelum kejadian Nur Muhammad, siapa hendak memanggil namanya sebagai Allah? Seumpama seorang raja yang ketiadaan rakyat, siapa yang hendak memanggilnya sebagai raja? Begitu juga Allah. Pada mulanya Allah itu, tidak bernama, setelah adanya Nur Muhammad (atau adanya rakyat), barulah Allah itu bernama. Ini menunjukkan kepada kita bahawa Allah itu, bukan nama.

Allah itu bernama adalah pada bibir Nur Muhammad dan pada bibir-bibir makhluk. Oleh itu, sedarlah wahai sekalian mana yang ada membaca karangan ini, bahawa marilah bermula dari hari ini, jam ini dan saat ini, sama-sama kita "mencari ingat" kepada yang sebenar-benar Allah. Allah yang tidak berhuruf dan Allah yang tidak bersuara. Tulisan atau perkataan Allah yang berupa huruf, yang tersangkut di dinding-dinding rumah atau yang di sangkut di cermin-cermin kereta, itu bukan Allah. Itu adalah tulisan, tulisan yang berupa lakaran huruf dari tangan makhluk. Allah itu, bukan berupa tulisan, lakaran, ukiran atau berupa huruf. Apa yang kita tulis itu, adalah berupa dakwat berserta kertas. Sifat yang bila mana dibakar ia hangus dan bila mana direndam ia basah, itu adalah sifat makhluk, bukannya sifat Allah. Allah itu, bila mana terbakar tidak hangus, bila mana direndam tidak basah. Selagi terbakar dan selagi basah, itu bukan Allah. Jangan sekali-kali beriktikad bahawa suara halkum yang terzahir pada bibir mulut kita itu, adalah Allah.

Allah bukan sesuatu tetapi nyata pada sesuatu. Ingat, ingat dan ingat kata-kata saya yang sedikit itu. Allah bukannya sesuatu tetapi nyata dan terzahir pada sesuatu. Suara bibir yang menyebut perkataan Allah itu, adalah merupakan sesuatu. Sedangkan Allah bukan sesuatu. Mana Allah dan bagaimana untuk ingat kepada Allah?

Saya tinggalkan persoalan ini untuk tuan-tuan fikir sendiri. Jika saya terus-terus memperkhabarkan secara senang, tidak akan ada orang yang akan menghargai ilmu ini. Ilmu ini akan dihargai orang bila mana ianya mahal. Mahalnya ilmu ini bila mana saya sorok atau saya sembunyikan puncanya supaya tuan-tuan meraba-raba sendiri. Setelah puas dan letih meraba di dalam gelap, barulah tuan-tuan tahu menilai yang ianya amat berharga. Cuba cari dan cuba jawab, bagaimana nak ingat kepada Allah dengan sebenar-benar ingat?

Bagi sesiapa yang berhajat kepada jawapannya, sila miliki kitab "Mengenal Diri dan Mengenal Allah Tok Kenali Kelantan" atau hubungi terus kepada saya Hj. Shaari Hj. Mohd Yusof di talian 019-4444713 atau 019-3010117. Nampak seolah-olah saya nak mempromosikan kitab, sebenarnya bukan berniat atau bukan tujuan saya untuk mempromosikan kitab, tetapi sekadar untuk menyatakan yang benar. Itupun sekiranya dikehendaki Allah. Sekiranya tidak dikehendaki Allah, bacalah seribu kitab dan sekalipun turun guru dari langit, kiranya bukan kehendak Allah untuk memberi faham, tuan-tuan tidak akan beroleh faham. Kitab ataupun guru, hanyalah sekadar alat untuk menyampaikan, sesungguhnya yang memberi faham itu, adalah Allah SWT.

INGAT KEPADA ALLAH ITU BUKAN PADA SIFAT ATAU NAMANYA (ALLAH TIDAK BERSIFAT)

Allah itu, tidak bersifat, Allah itu tidak berjirim dan Allah itu tidak berjisim. Barang atau perkara yang tidak berjirim atau berjisim, mana mungkin ada nama. Setiap yang bernama itu, pasti ada sifat dan setiap yang bersifat itu, pasti nama. Sedangkan Allah itu tidak bersifat, mana mungkin Allah itu ada nama. Barang yang tidak bersifat, pastinya tidak bernama. Barang yang tidak bernama, pasti tidak bersifat. Sedangkan Allah Taala itu, tidak bersifat sebagaimana sifatnya makhluk, mana mungkin ada nama. Oleh itu, barang siapa yang masih menyebut nama Allah, sesungguhnya mereka itu, belum lagi dikatakan ingat kepada Allah. Ingat kepada Allah itu, bukan pada nama-Nya. Ingat kepada Allah itu, setelah kenal tuan yang empunya nama. Kenal tuan yang empunya nama, barulah dikatakan ingat. Ingat kepada Allah itu, setelah sampai kepada tahap mengenal tuan yang empunya nama. Mengenal tuan yang empunya nama itu pula, hendaklah sampai kepada tahap tidak lagi berhuruf dan biarlah sampai kepada tahap tidak lagi bersuara. Yang tidak berjirim, yang tidak berjisim, yang tidak berhurf dan yang tidak bersuara itu, itulah baru dikatakan sebenar-benar Allah.

Allah itu bersifat dengan sifat yang bersalahan sebagaimana sifat makhluk. Sekiranya makhluk ada bentuk (ada sifat), pastinya Allah itu tidak ada bentuk dan tidak ada sifat. Sekiranya makhluk ada nama, Allah pasti tidak ada nama. Jika sekiranya Allah itu ada bentuk dan ada nama sebagaimana makhluk, itu bukan Allah. Sekiranya Allah ada nama dan makhluk juga ada mempunyai nama, apa bezanya dengan makhluk? Sekiranya Allah ada sifat dan makhluk juga mempunyai sifat, apa bezanya antara Allah dengan makhluk. Menandakan Allah itu adalah Allah, yang sifatnya bersalahan dengan yang baharu, pastinya berbeza dengan sifat makhluk. Bagi menentukan Allah itu tidak sama dengan sifat makhluk, hendaklah kedua-duanya mempunyai sifat yang berlawan atau sifat yang berbeza antara satu sama lain.

ALLAH ITU SEKADAR PENYATA BAGI NAMA

Bila mana Allah ada, makhluk bersifat tidak ada, bila mana Allah melihat, makhluk bersifat tidak melihat dan bila mana sifat makhluk bernama, sudah barang tentu Allah bersifat dengan sifat yang tidak bernama. Panggilan Allah itu, adalah sekadar penyata bagi nama, bukan penyata bagi tuan. Penyata bagi tuan yang empunya nama itu, adalah "rasa".

ALLAH ITU BERLAWANAN SIFATNYA DENGAN MAKHLUK

Bila mana makhluk bersifat, Allah tidak bersifat. Bila mana makhluk berbentuk, Allah tidak berbentuk. Bila mana makhluk bernama, Allah tidak bernama, dengan sifat ada bentuk, manakala Allah pula pasti tidak bersifat dan tidak berbentuk. Sekiranya makhluk ada sifat dan Allah juga ada nama, apa bezanya Allah dengan makhluk? Sekiranya makhluk ada nama, Allah pasti tidak ada nama, sekiranya makhluk ada sifat, Allah pasti tidak ada sifat, kerana Allah itu sifat-Nya bersalahan dari yang baharu dan bersalahan dari sifat makhluk.

ALLAH ITU BUKAN SUARA DARI HALKUM

Sekiranya tuan-tuan dan puan-puan masih lagi menyebut nama, bererti tuan-tuan belum sepenuhnya ingat kepada Allah. Ingat kepada Allah itu, bukan dengan menyebut namanya, ingat kepada Allah itu, adalah dengan cara ingat kepada tuan yang empunya nama. Tuan yang empunya nama itu pula, tidak berhuruf dan tidak bersuara, tidak berjirim dan tidak berjisim. Suara yang terkeluar dari kedua bibir mulut itu, adalah perkara yang masih bersifat suara dan masih bersifat jirim (huruf). Sedangkan Allah itu, sifat-Nya tidak berjirim atau berjisim. Allah itu bukan huruf atau tulisan dan Allah itu, bukan suara sebagaimana suara yang terkeluar dari halkum.

ALLAH ITU BUKAN SUARA BIBIR MULUT

Allah tidak sebagaimana suara yang terkeluar dari bibir. Suara yang terkeluar dari bibir mulut itu, berupa angin yang dihembus dari halkum. Hembusan angin yang terkeluar dari peti halkum dalam bentuk suara yang berbunyi nama atau dalam bentuk pangil-panggilan dengan sebutan nama Allah, itu bukan Allah. Yang berbunyi itu suara, manakala suara itu bukan Allah. Suara bibir mulut makhluk itu, bukan Allah. Allah tidak berada pada peti suara (halkum) dan Allah tidak berada pada sebutan nama, mana Allah dan bagaimana cara untuk ingat kepada Allah? Cuba tuan-tuan jawab? Sebelum saya meneruskan ungkapan yang tidak seperti ini, saya mahu tuan-tuan jawab. Jika tidak boleh jawab, bagaimana selama ini tuan-tuan ingat kepada Allah?

Jam dinding sudah menunjukkan pukul 5.46 pagi. Saya berhenti di sini dulu buat seketika, kerana saya nak bersiap untuk berjoging selepas subuh. Saya hanya berjoging, berlari dan berjalan lebih kurang tiga kilometer sahaja.

Selepas berjoging lebih kurang satu jam dan selepas mandi, badan terasa segar. Untuk itu apa kata saya sambung sedikit lagi coretan ilmu ini buat tatapan para pembaca yang budiman sekalian. Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian.

INGAT ITU ADALAH TIDAK INGAT DAN TIDAK INGAT ITULAH YANG DIKATAKAN SEBENAR-BENAR INGAT

Untuk ingat kepada Allah itu, kita tidak lagi perlu kepada dalil. Bagi sesiapa yang masih lagi meraba-raba mencari dalil untuk ingat kepada Allah, sesungguhnya mereka itu adalah golongan yang belum ingat kepada Allah. Bagi sesiapa yang masih mencari-cari dalil untuk ingat kepada Allah, itu tandanya mereka belum ingat kepada Allah, mereka-mereka itu masih berada pada tahap mengingat dalil, bukannya ingat kepada Allah tetapi mereka hanya ingat kepada dalil. Sedangkan Allah itu, bukan dalil. Allah itu adalah Allah. Untuk ingat kepada Allah itu, kita sepatutnya tidak lagi perlu kepada dalil. Allah itu, bukan sesuatu, sedangkan dalil itu, adalah merupakan sesuatu. Yang berupa sesuatu itu, bukan Allah kerana Allah itu bukan sesuatu. Untuk ingat kepada Allah itu, tidak lagi perlu kepada dalil.

Jika sekiranya masih berdalil-dalil untuk ingat kepada Allah, tandanya tuan-tuan teramat jauh dari Allah. Bila mana teramat jauh dari Allah, bererti tuan-tuan dalam keadaan teramat hampir lupa kepada Allah. Jika tidak keterlaluan, izinkan saya untuk mengatakan yang bahawasanya tuan-tuan belum lagi sampai kepada tahap ingat kepada Allah. Apakah Allah itu tidak cukup terang dan apakah Allah itu, tidak cukup jelas, sampai kepada mencari dalil untuk ingat kepada Allah? Allah bukan sesuatu, kenapa masih mencari sesuatu untuk ingat kepada Allah. Allah bukan sesuatu tetapi nyata pada sesuatu. Kenapa perlu cari lagi?

Selagi masih berdalil untuk ingat kepada Allah, sesungguhnya tuan-tuan dan puan-puan bukan dari golongan orang-orang yang ingat kepada Allah. Mencari dalil Allah dengan sebutan, mencari dalil Allah dengan berzikir, mencari dalil Allah dengan perbuatan, mencari dalil Allah dengan suara, mencari dalil Allah dengan sembahyang dan mencari dalil Allah dengan puasa. Kenapa perlu lagi kepada dalil? Tidakkah Allah itu, teramat nyata dan teramat terang? Tidak cukupkah Allah itu Allah. Sesungguhnya Allah itulah Allah.

Allah itu nyata, lebih nyata dari diri kita sendiri, kenapa perlu dalil? Cuba jawab pertanyaan saya. Allah itu terang, lebih terang dari cahaya matahari, kenapa perlu dalil? Cuba jawab pertanyaan saya.

Saya bermohon dan berseru kepada semua pembaca kitab Tok Kenali atau yang mengikuti blog ini di seluruh Malaysia (Sabah dan Sarawak), Singapura, Brunei dan Indonesia (terutama saudara dari Aceh dan Sulawesi) supaya memberi jawapan dan memberi komen tentang persoalan saya di atas. Mari kita sama-sama menilai dan menghayati bersama. Ayuh bukakan blog masing-masing, mari kita berdiskusi!

Memandangkan esok hari raya korban, tidakkah ada orang yang ingin bertanya tentang maksud sebenar korban?

MOHON PETUNJUK TERLEBIH DAHULU SEBELUM BERSYAHADAH

Sebelum berkalimah syahadah terlebih dahulu marilah sama-sama kita memohon petunjuk dan hidayah dari Allah SWT agar lafaz yang terkeluar dari kalam bibir kita itu, dipersetujui, diperkenan dan diredhai Allah Taala. Untuk mendapat perkenan atau persetujuan Allah hendaklah terlebih dahulu kita tanya kepada diri kita sendiri, apakah kalimah syahadah yang telah berlangsung di kalam bibir kita itu dihayati dengan sajian ilmu atau berlangsung dengan sekadar dengan alunan suara bibir?

Hanya hati mereka-mereka yang dituntun, ditunjuki, dianugerahi dan yang dikehendaki Allah sahaja yang dapat membuka simpulan iman yang tersembunyi di sebalik kalimah syahadah. Allah sahaja yang dapat membuka simpulan iman itu dan hanya Allah sahaja yang dapat memberi petunjuk ke arah mengetahui rahsia di sebalik syahadah. Simpulan iman yang tersimpul di sebalik syahadah itu teramat sulit untuk dibuka oleh akal. Syahadah itu tersimpul di sebalik simpulan iman. Simpulan iman itu tersimpul di dalam kalimah "tahu" tetapi tidak "mengetahui" (kenal). Perkataan tahu itu adalah simpulan yang tersimpul di sebalik khayalan akal atau hanya sekadar angan-angan.

MAKSUD LAFAZ SYAHADAH YANG SEBENAR

Terjemahan sebenar kalimah "La ilaha illallah" itu adalah bermaksud "Aku mengetahui tiada lain melainkan hanya Allah". Jika tidak kita faham dan tidak kita mengetahui makna di sebalik  maksud, berapa banyak sekalipun kita menyebut perkataan bersaksi atau kita menyebut perkataan naik saksi tidak bermakna kita sudah bersyahadah. Lafaz syahadah kita itu hanyalah sekadar lafazan bibir yang berangan-angan atau berkhayalan akal semata-mata.

Lafaz syahadah dalam keadaan tidak mengetahui adalah lafaz yang tidak terlafaz atau ucap yang tidak terucap, syahadah dari bibir mereka-mereka yang dalam berkeadaan hilang ingatan, hilang akal, hayal atau dalam berkeadaan mabuk. Lafaz syahadah dari bibir orang yang "tidak mengetahui" itu umpama garam yang tiada masin. Lafaz yang tidak diterima Allah.

Maksud atau makna perkataan "mengetahui" itu adalah merujuk kepada "mengenal". Kiranya kita tidak mengenal Allah, apa kesaksian yang hendak kita persaksikan atau yang hendak kita persembahkan kepada Allah, cuba tuan-tuan jawab pertanyaan saya? Setiap yang bersaksi hendaklah terlebih dahulu mengenal antara satu sama lain. Sepatutnya yang bersaksi itu mengenal dengan yang menyaksikannya. Sekiranya saksi tidak kenal kepada yang menyaksi dan yang menyaksi pula tidak mengenal kepada yang bersaksi, apakah ertinya bersyahadah? Di antara mereka saling tidak kenal mengenal di antara satu sama lain, apa yang hendak kita persaksikan? Cuba jawab pertanyaan saya dengan jujur?

NAIK SAKSI TETAPI TIDAK BERSAKSI, SAKSI TIDAK MENGENAL YANG DISAKSI

Sekiranya tuan-tuan masih tidak faham apa itu maksud saksi dan apa itu maksud yang menyaksi, mari ikut saya, saya bawa tuan-tuan masuk sekejap ke dalam mahkamah. Saya mahu tuan-tuan menjadi seorang saksi dalam satu kes rompakan bersenjata yang mendatangkan kematian. Secara kebetulan tuan melihat dan menyaksikan rompakan tersebut dengan mata kepala sendiri. Sebagai saksi, tuan hakim meminta tuan mengenal pasti pelaku yang melakukan rompakan. Hakim mengumpulkan beberapa orang suspek untuk tuan kenal pasti yang mana satu perompak yang benar-benar melakukan rompakan tersebut. Cuba tuan-tuan jawab soalan saya, bagaimana sekiranya tuan tidak dapat cam atau tidak dapat untuk mengenal pasti pelaku yang melakukan rompakan tersebut, bolehkah tuan disebut sebagai seorang saksi? Bolehkah tuan dipanggil sebagai seorang saksi? Sebagai seorang saksi itu, hendaklah mengenal orang yang disaksikannya.

Begitu juga dalam soal kita berkaliamah syahadah. Kita mengaku untuk naik saksi bahawasanya tidak ada Allah lain selain Allah. Cuba tuan-tuan jawab pertanyaan saya, bila masanya tuan mengenali Allah? Bila masanya tuan-tuan pernah melihat Allah? Sekiranya tuan-tuan belum pernah melihat Allah dan belum pun pernah mengenal Allah, bagaimana tuan-tuan nak jadikan diri tuan-tuan itu sebagai seorang saksi, sekiranya tuan-tuan sendiri belum pernah menyaksikannya. Seorang saksi yang belum pernah dipersaksikan (belum pernah diperlihatkan), mana mungkin dapat menjadi saksi bagi menyaksikan suatu kesaksian? Cuba jawab, cuba jawab dan cuba jawab dengan hati yang jujur? Boleh atau tidak? Jika jawapannya memihak kepada "tidak", bagaimana kesaksian tuan-tuan terhadap kalimah syahadah yang tuan-tuan sendiri sebut dan yang tuan-tuan sendiri lafazkan? Tidakkah itu satu pembohongan atau satu penipuan? Tuan-tuan adalah seorang makhluk pendusta, dusta pada Allah, dusta pada pandangan masyarakat dan dusta juga kepada diri sendiri. Apakah ertinya tuan-tuan dan puan-puan sebagai hamba Allah yang bersaksi kepada kalimah syahadah? Cuba jawab kepada diri sendiri.

KEFAHAMAN SYAHADAH ITU BUKAN MENGIKUT SEBAGAIMANA KEFAHAMAN AKAL

Maksud atau makna mengenal itu pula, adalah merujuk kepada kefahaman Allah, bukan datangnya dari kefahaman atau pengertian khayalan akal atau angan-angan. Setelah mengenal Allah, barulah terbitnya perkataan sebutan bibir yang disertai dengan perkara "rasa". Perkataan rasa itulah maksud mengetahui. Lafaz dengan mengetahui itulah, baru sah melafazkan kalimah syahadah. Mari kita sama-sama melafazkan dua Lafazlah kalimah syahadah dengan mengetahui Allah, bukannya dengan pengetahuan kita. Untuk melafaz bersama dengan mengetahui Allah, terlebih dahulu harus kita faham apa itu pengertian perkataan "aku".

Bila mana menyebut perkataan "aku", rujuklah kepada Allah, perkataan "aku" di situ, bukannya merujuk kepada diri kita. Diri kita bersifat tidak mengetahui, hanya Allah sahaja yang bersifat tahu dan mengetahui. Bila mana menyebut perkataan "Aku mengetahui", rujuklah bahawasanya yang mengetahui itu, adalah sifat Allah SWT. Allah itu, tiada lain selain Allah. Aku itu, adalah Aku. Allah itu, adalah Allah. Allah itu, tiada lain selain Allah.

Selagi kita mengaku kita yang mengetahui dan kita yang tahu, bererti kita belum lagi bersyahadah. Perkataan "Aku mengetahui" itu, adalah merujuk kepada Allah. Yang mengetahui itu hanya Allah. Bila mana kita melafaz, tasdiklah ke dalam hati dan ingatlah dengan perasaan akal yang lemah itu, bahawasanya yang boleh mengetahui akan syahadah kita itu hanya Allah. Yang mengerti dan yang faham akan syahadah kita itu, hanya Allah.

Sesudah kita faham maksud mengetahui Allah, barulah boleh kita tambah dengan perkataan aku bersaksi atau aku naik saksi. Sesudah kita faham akan duduknya makna yang tersirat itu, sebutlah apa sahaja perkataan yang terlafaz oleh bibir, ia tidak lagi memberi bekas. Kerana yang memberi bekas itu, adalah hanya Allah. Cakaplah apapun yang kita sanggup cakap, ianya tidak sedikitpun memberi bekas kepada Allah, kerana yang terlafaz, terucap dan terluah dari bibir itu, adalah dengan mengetahui Allah, dalam ilmu Allah.

Orang yang dalam berkeadaan tidak mengetahui itu, adalah sama dengan orang yang dalam berkeadaan mabuk, lalai, hilang akal atau hilang ingatan. Tidak tahu dari apa yang dilafaz atau tidak tahu dari apa yang diperkatakan. Sekadar sedap mulut untuk berkata. Sekiranya sekadar sedap mulut, budak kecil atau radio kasetpun boleh mengucap sebagaimana lafaz bibir mulut tuan-tuan. Apakah itu yang dimaksud atau yang ditakrifkan oleh syarak? Mengucap sekadar lepas dari bibir, apakah itu yang disarankan oleh agama kita? Cuba jawab pertanyaan saya. Jika tidak betul dari apa yang saya sangkakan, cuba tuan-tuan ceritakan bagaimana lafaz syahadah yang sebenar? Cuba tuan jelaskan kepada kami, apa yang hendak dinafi dan apa yang hendak diisbatkan, cuba tuan jawab melalui blog ini, supaya ramai yang boleh lihat pendapat tuan melalui blog ini dan dapat pula kita sama-sama belajar dari tuan.

KEFAHAMAN SYAHADAH MENGIKUT SULUHAN ILMU MAKRIFAT (DARI SUDUT SULUHAN HATI)

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian.

Bagi mereka-mereka yang sudah mengenal diri dan mengenal Allah, tidak ada lagi yang menjadi saksi, bersaksi atau menyaksi. Setelah segalanya sudah lebur, binasa dan lebur, apakah lagi yang tersisa atau terbaki pada kita? Sebagai makhluk, kita adalah bersifat dengan sifat binasa. Setelah binasa segala sifat makhluk, mana lagi adanya kita? Setelah kita tidak ada dan setelah sifat kita binasa, siapa lagi yang hendak menjadi saksi? Seandainya tidak ada saksi, mana mungkin untuk menyaksikan kesaksian. Saksi itu roh dan yang bersaksi itu tubuh badan (bibir mulut), manakala yang menyaksikan kesaksian kita itu, adalah Allah Taala.

Seandainya sifat tubuh badan dan roh kita binasa, ke mana lagi hendak kita hadapkan penyaksian kita? Itulah makanya bagi mereka yang sudah sampai kepada tahap makrifat, tidak ada lagi yang menjadi saksi, bersaksi dan tidak ada lagi yang menyaksi. Melainkan garam sudah kembali kepada masin. Tidak ada lagi sifat garam melainkan segala-galanya masin belaka. Siapa yang hendak menyaksi siapa? Sesudah segalanya binasa.

Selagi tidak binasa, tidaklah ia bersyahadah, melainkan sekadar angan-angan atau hayalan akal. Bersaksi itu, bila mana ada dua sifat wujud. Setelah wujud diri yang bersifat majazi itu lebur, mana ada lagi wujud yang lain selain wujudnya Allah. Wujud yang lain akan dengan sendirinya menjadi lebur musnah, bila mana penglihatan mata hati terpandang akan wujudnya Allah. Erti wujud itu, bermaksud ada. Sifat ada itu, adalah hanya bagi Allah. Makhluk itu, adalah bersifat dengan sifat binasa. Setelah makhluk bersifat binasa, mana ada lagi wujudnya makhluk. Setelah tiada wujudnya makhluk, di situlah baru timbulnya sebenar-benar yang dikatakan Allah itu wujud dengan sendiri. Tidak berkongsi wujudnya Allah itu, dengan wujud yang lain selain Dia.

Bila mana sampainya kita kepada tahap itu, barulah boleh dikatakan bahawa saksi itu Dia, yang bersaksi itu Dia dan yang menyaksikanpun Dia. Dialah seDia-Dianya. Allahlah seAllah-Allahnya Allah. Tidak ada yang wujud, yang ujud dan yang maujud di alam ini selain Allah. Allah itulah Allah, Allah, Allah.

Inilah syahadah yang sebenar-benar syahadah, pengakuan yang sebenar-benar pengakuan dan tauhid yang sebenar-benar tauhid. Pengakuan yang bukan setakat bibir mulut, tetapi pengakuan yang berserta dengan tasdik hati yang ikhlas dan jujur. Yang boleh dikatakan ikhlas dan jujurnya tasdik hati itu, setelah kita campakkan garam ke dalam sifat masin.

Terima kasih kepada Puan Zaidah di talian 013-2822881, yang bertanyakan perkara ini pada 15 Oktober. Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian. Ramai di antara kita yang terkeliru dengan sebutan atau panggilan nama-nama tersebut. Sebenarnya, kesemua sebutan nama-nama tersebut pada hakikatnya adalah sama atau satu juga. Berbeza cuma pada loghat sebutan panggilan.

Bila mana kita berpakaian uniform polis, orang panggil kita polis. Bila mana kita pakai uniform askar, orang gelarkan kita tentera. Bila mana pakai baju hospital, orang panggil kita doktor. Sebenarnya yang memakai unifon itu adalah orang yang sama. Kepada orang yang mengaji jalan tarekat, mereka mendewa-dewakan nama ampus, nupus dan tanapas, sedangkan sebenarnya itu semua adalah panggil-panggilan pada gelaran nama atau pada istilah sahaja. Istilah itu adalah panggil pada nama tetapi tidak pada hakikat. Seumpama kita sebut perkataan api, bila mana sebut perkataan api, mana panasnya? Sebut perkataan kaya, bila mana sebut perkataan kaya, mana wangnya? Sebut perkataan harimau, mana garangnya? Sebut perkataan pisau, mana tajamnya? Bahasa istilah adalah bahasa sebut atau bahasa membilang. Kenyataan pada sebutan itu tidak ada, tidak wujud dan tidak nyata.

Dalam hal tersebut di atas, perkataan roh, hati, jiwa, kalbu, nyawa, nafas, janjung, nadi dan sebagainya itu adalah hanya pada bilangan nama, yang berlainan pada lafaz bunyi sebutan, namun pada maksud hakikatnya ia adalah tetap sama. Semua nama-nama panggilan tersebut boleh kita satukan dalam satu nama iaitu dalam nama roh (zat). Semua nama-nama tersebut berputik atau berbuah dari sebab kerana adanya roh. Kiranya tidak ada roh semua pangilan-panggilan nama tersebut tidak terpanggil oleh sebutan bibir.

Jika ada orang yang menyatakan segala panggilan nama tersebut berasingan atau berlainan, cuba minta mereka pergi melawat orang mati. Bila mana jasad mati, apa yang tinggal dan mana yang dikatakan sebutan-sebutan itu pergi? Yang pergi itu roh dan yang tercabut itu roh, bila mana yang pergi itu roh, kenapa pula yang tidak ada itu denyutan nadi, nafas, gerak jantung, perasaan, apus, nupus, tanapas dan lain-lain? Kenapa yang dicabut itu roh tetapi yang lain-lain itu juga ikut pergi? Itu bagi menggambarkan kepada kita bahawa segala sebutan nama-nama itu adalah hanya panggilan kepada nama roh.

Ada orang mengatakan yang Allah itu zat. Sebenarnya ingin saya berpesan kepada semua yang ada membaca blog ini bahawa Allah itu bukan zat, Allah itu adalah Allah. Allah itu tidak ada lain selain Allah. Perkara zat, sifat, afaal dan asma itu adalah perkara yang terletak pada sifat makhluk. Sifat itu ertinya rupa bentuk kita, afaal itu ertinya perbuatan kita, asma itu ertinya nama-nama kita dan zat itu ertinya roh kita. Zat itu ertinya roh kita, zat itu bukannya roh Allah. Allah mana ada roh dan mana ada zat, perkara zat itu masih lagi berstatus makhluk iaitu roh.

Seumpama zat gula ada pada manisnya. Zat pisau ada pada tajamnya. Zat lidah ada pada rasanya. Itulah yang diertikan dengan zat. Mana-mana sifat makhluk itu tidak pantas, tidak layak dan tidak santun dibahasakan pada Allah. Allah itu adalah Allah. Allah tidak ada roh dan Allah tidak ada zat. Fahami itu!

Jawapan saya itu adalah jawapan dari seorang yang bersifat jahil, minta orang alim memperbetulkannya. Jangan tuan-tuan mengambil faham atas jawapan saya, anggaplah ianya sekadar halwa telinga semata-mata. Rujuk semula kepada orang alim dan minta orang alim jawab melalui blog mereka supaya ramai orang yang mendapat manfaat melaluiya.

Jam dinding menunjukkan pukul 11.27 pagi, tanggal 03 Oktober. Semasa sedang beristirehat sambil duduk-duduk selepas mengiringi doa kepulangan sahabat-sahabat dari Kota Aceh, terlintas perasaan di dalam hati untuk mengarang erti zuk. Tuan-tuan dan puan-puan, muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian, syukur ke hadirat Ilahi kerana telah mengurniakan saya akal fikiran untuk memperturunkan ilmu mengenai "zuk".

Apakah erti zuk? Zuk dalam pengertian istilah makrifat adalah membawa erti "rasa" atau "rahsia kebatinan". Dalam bahasa mudah zuk itu ertinya asyik.

Apakah rasa zuk itu boleh dikongsi dengan orang lain? Ilmu rasa atau zuk itu tidak dapat dikongsi dengan orang lain. Zuk itu adalah rasa sesuatu rasa yang luar biasa (merasai sesuatu keindahan di luar dari kebiasaan), yang tidak dapat dirasai dan tidak dapat dikongsi dengan orang lain.

Perkara rasa adalah perkara yang tidak sekali-kali boleh dibawa berkongsi dengan orang lain, seumpama pahitnya buah peria atau pahitnya pucuk betik. Bagi isteri saya pucuk betik dan peria itu tidak pahit baginya. Pada saya pucuk betik atau peria itu teramat pahit sehingga tidak saya gemari. Manakala pada orang lain pula pucuk betik atau peria itu biasa-biasa sahaja. Tiga orang, tiga rasa dan tiga pendapat. Inilah kedudukan mengenai perkara rasa. Contohnya, seumpama buah durian bagi orang putih (orang Eropah), mereka mengatakan yang buah durian itu busuk manakala bagi kita pula buah durian itu sedap. Begitu juga seumpama manisnya air gula, manisnya air gula yang di dalam satu jag air itu tidak sama bagi sesetengah orang. Seumpama kita buat seteko air teh, diminum oleh tiga orang, yang seorang itu, mengatakan yang teh itu teramat manis. Seorang lagi mengatakan yang air teh itu teramat tawar dan bagi yang seorang lagi mengatakan yang air teh itu seumpama manis-manis buah. Biarpun barang yang sama namun perkara rasa itu tidak sama bagi seseorang.

Itulah makanya hadis nabi ada menyebut kalimah "La ya zuk, wala ya arif", bermaksud "barang siapa yang belum menikmatinya, tidaklah mereka tahu". Yang mengatakan bahawa bagi sesiapa yang belum pernah mengalaminya tidaklah ia beroleh tahu akan duduknya perkara. Perkara zuk itu adalah suatu perkara yang tidak boleh diterjemah atau tidak boleh dibocorkan melalui kata-kata. Begitulah apa yang berlaku kepada mereka-mereka yang zuk dengan Allah Taala. Hanya diri sendiri sahaja yang tahu.

Zuk berkehendak kepada diri yang bersih (suci). Zuk itu tidak sekali-kali akan dapat berlaku pada orang yang belum sampai kepada tahap "bersih hati". Zuk itu hanya akan boleh berlaku kepada mereka-mereka yang sudah sampai kepada tahap "bersih hati". Maksud bersih hati itu adalah mereka-mereka yang "mengenal diri". Selagi belum mengenal diri, selagi itulah hati tidak akan bersih. Mereka yang mengenal diri sahaja yang dapat sampai kepada tahap hati yang bersih (suci). Bersih hati di sini adalah merujuk kepada mereka yang sudah benar-benar menyerah diri kepada Allah Taala (mengenal diri). Rahsia kebatinan atau zuk itu akan hanya berlaku di antara makhluk dengan Khaliqnya dalam keadaan rasa. Ingat pesan saya, zuk itu akan hanya boleh berlaku dalam keadaan setelah seseorang itu bersih hatinya dengan Allah Taala. Zuk itu berlaku bila mana jendela khasyaf dalam hatinya bersih. Bila mana hati kita bersih, jendela zuk akan dengan sendirinya terbuka dan di situlah juga majlis Hadhrat Rabbul Izaati akan mendatangi hati kita dengan perasaan zuk.

Persoalannya di sini, apakah perkara yang hendak dizukkan? Zuk itu ertinya ingat kepada hanya Allah. Kiranya zuk kepada perkara yang selain Allah atau kepada yang bukan bertujuan untuk ingat kepada Allah, itu bukan zuk. Zuk itu khusus atau khas kepada mereka-mereka yang hanya ingat kepada Allah. Zuk bukannya bererti kita tidak rasa bila mana digigit nyamuk, zuk itu bukan bererti tidak mendengar bila mana dipanggil, zuk itu bukan bererti tidak tahu hari hujan atau tidak dan zuk itu bukannya bererti tidak sedarkan diri. Kiranya zuk itu bererti tidak sedar bila mana dipanggil atau tidak rasa bila mana digigit nyamuk, itu bukan makna zuk, itu bermakna pengsan atau koma. Sedangkan zuk itu bukan koma, pengsan atau tidak sedarkan diri.

Zuk bukan bermaksud koma (tidak sedarkan diri). Ingat pesan saya, zuk itu bukan bererti berada di dalam keadaan koma atau berada di dalam keadaan tidak sedarkan diri. Kiranya zuk ertinya tidak sedar akan gigitan nyamuk atau tidak dengar panggilan orang, itu bukan erti zuk, itu adalah erti koma, tidur atau tidak sedarkan diri (pengsan). Zuk bukan koma atau pengsan. Orang yang berada dalam keadaan zuk itu adalah mereka-mereka yang tahu bila mana digigit nyamuk, mendengar bila mana dipanggil, tahu bila mana hari nak hujan atau tidak, tahu akan keadaan cuaca panas atau sejuk. Orang yang tidak tahu keadaan panas atau sejuk itu, adalah golongan orang-orang koma atau pengsan. Gambaran itu bukannya gambaran zuk, itu adalah gambaran orang koma atau pengsan (orang Kelantan sebut gambaran orang selok). Zuk itu bukan selok (pengsan), kiranya orang panggil tidak didengar dan tidak rasa bila mana digigit nyamuk itu bukan erti zuk. Itu ertinya orang pengsan (selok).

Bagaimana perasaan atau rasa bila mana dalam keadaan zuk? Zuk itu ertinya ingat kepada Allah. Bila mana kita dalam keadaan ingat kepada Allah itulah ertinya zuk. Ingat yang sebagaimana yang boleh dikatakan dalam berkeadaan zuk? Yang boleh dikatakan dalam berkeadaan zuk itu adalah bila mana diri kita masih boleh "merasai sesuatu". Masih boleh rasa bila hari nak hujan, masih boleh dengar bunyi guruh di langit, masih boleh mendengar bila mana orang datang memanggil nama kita. Sehingga masih boleh rasa bila mana digigit nyamuk.

Apakah anggapan orang yang berada dalam tahap zuk? Mereka-mereka yang berada dalam keadaan zuk itu beranggapan bahawa nyamuk yang mengigit itu adalah datangnya daripada Allah dan yang menerima gigitan itupun adalah juga datangnya daripada Allah. Kedua-duanya, sama-sama datang dari Allah, setelah kedua-dua datangnya dari Allah, sudah barang tentu dan sudah barang pasti kita akan dapat merasai perkara-perkara yang datang itu adalah nikmat, berkat, seronok, selesa dan bahagia. Sekalipun digigit nyamuk, digigit ulat atau biarpun digigit oleh seekor harimau. Mereka rasakan bahagia, rasa aman dan rasa selesa bila mana digigit. Dianggapnya bahawa nyamuk, ular atau harimau itu adalah datangnya dari Allah. Yang menggigit datangnya dari Allah dan yang kena gigitpun juga datangnya dari Allah. Kedua-duanya sama-sama datang dari Allah. Perkara-perkara yang datangnya dari pada Allah itu semuanya adalah rahmat, nikmat, berkat belaka. Yang datang dari Allah itu tidak ada yang tidak baik, semuanya adalah seronok, bahagia, senang dan lazat belaka, itulah gambaran zuk.

Zuk itu bila mana terpandang segala-galanya itu adalah dari kalam (kata-kata) Allah Taala. Zuk itu masih boleh mendengar guruh di langit, masih boleh mendengar anak-anak menangis. Tinggal lagi orang-orang yang dalam berkeadaan zuk itu adalah mereka-mereka yang tidak lagi beranggapan bahawa suara menangis itu dari makhluk. Mereka yang dalam keadaan zuk itu beranggapan bahawa yang menangis itu adalah kata-kata Allah, yang memanggil itu adalah kata-kata Allah, suara guruh yang berdentum di langit itu adalah kata-kata Allah. Nyamuk yang menggigit itu adalah wajah Allah, yang digigit nyamuk itupun juga adalah wajah Allah. Segala-gala yang dipandang itu adalah berupa wajah Allah. Bila mana wajah bertemu wajah, itulah yang dikatakan asyik atau zuk.

Itu makanya orang sembahyang dalam keadaan zuk (asyik) itu masih boleh ingat kepada ruku dan sujud. Kiranya dalam keadaan nyamuk gigitpun kita tidak rasa, itu bukan zuk, itu koma (pengsan). Jika nyamuk gigitpun kita tidak rasa, bagaimana nak tahu ruku dan sujud. Cuba tuan-tuan dan puan-puan bayangkan, ada sesetengah ulama mengatakan yang keadaan zuk itu setelah kita tidak lagi sedar apa-apa dan tidak lagi tahu apa-apa. Bila mana kita dalam keadaan tidak tahu, bagaimana nak ingat rukun sembahyang, yang perlu kepada berdiri, ruku, sujud dan bacaan ayat-ayat Allah? Sekiranya zuk itu ertinya "lupa diri", apa akan jadi kepada rukun sembahyang? Macam mana nak tahu sujud atau berdiri? Sekiranya zuk itu boleh membawa lupa diri, akan terjadilah seumpama tahu sujud dan tidak tahu berdiri dan tahu berdiri tidak tahu sujud. Tidak tahu bila masa nak ruku dan bila masa rakaat pertama dan bila masa rakaat kedua. Sekiranya zuk itu erti tidak sedar, sehingga nyamuk gigitpun tidak kita rasa dan orang panggilpun tidak kita dengar, itu bukan erti zuk, itu ertinya tidur, koma atau pengsan (selok kata orang Kelantan). Asyik kepada Allah itulah yang dikatakan zuk. Bila mana asyik ertinya tidak lagi ingat selain Allah. Itulah yang dikatakan zuk. Zuk dari sudut ilmu makrifat itu adalah setelah kita dapat merasai yang segala-galanya sesuatu itu adalah Allah, Allah, Allah.

Mari kita sama-sama lihat bagaimana keadaan Saidina Ali dan Bilal bin Rabbah semasa beliau dalam keadaan zuk (asyik). Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian, semasa Saidina Ali Rahimullah terkena panah, untuk mencabutnya memang sakit, kerana kepala panah itu bercabang tiga. Bila mana anak panah itu ditarik, ia akan tertarik sekali dengan daging. Kisah Saidina Ali itu, bagi menggambarkan sakit yang teramat sangat. Namun Saidina Ali menyuruh sahabatnya mencabut anak panah itu di ketika beliau sembahyang. Semasa sembahyang, beliau sembahyang dengan penuh zuk dan khusyuk. Bila mana khusyuk dan zuk kepada Allah telah dapat memenuhi seluruh anggota tubuhnya termasuk pembuluh darah dagingnya, di situ beliau tidak lagi akan ada perasaan sakit. Sakit seberapa berat sekalipun kiranya kita boleh ingat kepada Allah akan dengan sendirinya sakit itu akan hilang.

Persoalannya bagaimana untuk mendatangkan perasaan zuk? Perasaan zuk atau khusyuk itu akan dengan sendirinya mendatangi dan memenuhi lubuk kalbu kita setelah kita tahu untuk menyerah diri kepada Allah (mengenal diri). Saidina Ali adalah sahabat nabi yang mengenal diri, setelah beliau mengenal diri, dengan sendirinya diri Saidina Ali tidak ada, yang ada pada Saidina Ali pada waktu itu dan pada waktu sesudah itu, hanya Allah. Bukan anak panah yang menembusi dada Saidina Ali, yang menembusi dada saidina Ali itu adalah "Kudrat dan Iradat Allah). Kudrat dan iradat Allahlah yang sebenar-benar menembusi dada Saidina Ali bukannya anak panah.

Siapalah makhluk anak panah yang boleh sampai menembusi dada Saidina Ali? Makhluk tidak boleh memberi bekas kepada kita melainkan Allah sahajalah yang boleh memberi bekas kepada jasad-jasad kita termasuk jasad Saidina Ali. Hanya dengan izin kudrat dan iradat Allah sahaja yang berkuasa menembusi dada Saidina Ali dan dada-dada kita. Sekiranya kudrat dan iradat Allah yang masuk menembusi dada Saidina Ali atau yang menembusi dada-dada kita itu, sakit akan berganti dengan nikmat, malahan lebih terasa sedap, lazat, seronok atau lega. Sekiranya dibubuh atau dipanah lagi sekalipun ianya akan bertambah lazat. Lazatnya kudrat dan iradat Allah itu mengatasi sakitnya anak panah. Cuba tuan-tuan dan puan-puan bayangkan bila mana Allah sendiri yang menembusi dada-dada kita, apa agaknya yang tuan-tuan rasa? Cuba jawab pertanyaan saya?

Anak panah yang mendatangi dada Saidina Ali dan pada dada-dada kita itu sebenarnya bukan anak panah, sebenar-benar yang datang memanah dan menembusi dada-dada kita itu, adalah kudrat dan iradat Allah, manakala yang menerima atau yang kena panah itupun juga, adalah kudrat dan iradat Allah. Setelah kedua-duanya menjadi kudrat dan iradat Allah, mana adanya sakit. Firman Allah dalam Al-Quran, "La tataharroku illa biiznillah" bermaksud "Tidak bergerak sebesar zarah, jika tidak dengan izin Allah Taala". Jadi apa sahaja yang bergerak termasuk bergeraknya anak panah itu adalah di atas izin Allah. Setelah ianya di atas keizinan Allah, mana mungkin kita sebagai makhluk (hamba yang fakir) boleh mengatakan tidak dan mana mungkin boleh adanya rasa sakit, malahan ianya akan lebih terasa nikmat dan rahmat, berbanding sakit! Itulah sebabnya Saidina Ali tidak merasa sakit malahan lebih terasa lazat nikmat berbanding sakit. Saidina Ali lebih memandang Allah berbanding anak panah.

Jam dinding sudah menunjukkan jam 3.37 petang, rasanya saya ingin mengambil kesempatan untuk berehat buat seketika, nanti kiranya masih diberi umur oleh Allah Taala, kita sambung lagi.

Amin dari Hj. Shaari.

Sambungan...

Jam dinding menunjukkan pukul 5.45 pagi, tanggal 04 Oktober. Kedinginan pagi yang nyaman dan udara yang bersih serta kesunyian persekitaran membuatkan hati ini terpanggil untuk meyambung karangan semalam.

Tuan-tuan dan puan-puan, muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian.

Zuk itu terbahagi kepada dua jenis atau dua tingkatan, iaitu:

1) Zuk yang dibuat-buat
2) Ingat hanya kepada Allah Taala

Syukur kepada Allah Taala kerana masih lagi memberi peluag kepada saya untuk berkarya. Hari ini tanggal 05 Oktober bersamaan hari Sabtu. Di saat saya menulis karangan ini, saya sedang berada di Taman Tasik Chini, Pahang. Tempat di mana suatu masa dahulu kawasan ini dikatakan menjadi legenda kediaman naga. Sekarang jam sudah menghampiri subuh, sedang sahabat-sahabat lain masih lagi nyenyak dibuai mimpi dan ada yang berdengkur tidurnya. Terpanggil hati saya untuk terus menulis. Sambil saya menulis saya cuba-cuba menyelak tirai untuk meninjau persekitaran di luar ternyata di luar sana kelihatannya masih lagi gelap.

Semalam, saya sampai di Tasik Chini sekitar jam 9.30 malam, kerana hampir dua jam tersesat jalan. Jadi saya tidak dapat lagi untuk melihat keadaan persekitaran kawasan lagenda ini. Namun sesampainya rombongan kami di Pejabat Pendaftaran Penginapan, saya terpandang beberapa patung naga di atas meja pendaftaran. Di situ fikiran saya sudah mula membayangkan bagaimana di suatu masa dahulu naga-naga sedang berenang-renang di dalam tasik tersebut.

Sesampainya kami di penginapan, sahabat-sahabat mula memainkan peranan masing untuk menyediakan makanan untuk saya. Seorang sahabat pergi ke restoran untuk membeli 4 bungkus nasi kososng. Sedang yang lain masing-masing sibuk menyediakan ikan bakar. Sahabat-sahabat membakar ikan jebong (ikan ayam-ayam), ada yang bakar sotong dan kupang. Malangnya udang yang dibeli untuk dibakar, tertinggal di pasar raya.

Hati ini di saat itu terasa teramat indah dan dihargai. Setelah selesai makan saya mengambil kesempatan untuk merebahkan tubuh kerana penat setelah seharian berjalan. Sedang saya tidur ada sahabat-sahabat yang mengambil peluang keluar bersiar-siar di persekitaran, berkemungkinan mencari kenangan-kenangan silam atau meninjau-ninjau kesan sejarah peninggalan naga. Suasana pagi di sini dingin, nyaman dan sepi membuatkan terpanggil hati saya bagaikan diketuk untuk menyambung catatan kelmarin.

Tuan-tuan, puan-puan, muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian. Adapun zuk itu ada dua jenis atau dua tingkatan. Tingkatan atau jenis zuk yang pertama itu adalah zuk yang dibuat-buat. Mari kita sama-sama pelajari zuk yang dibuat-buat. Zuk yang dibuat-buat, yang dicari-cari atau zuk yang direka-reka itu adalah seumpama mencari zuk di dalam zikir, mencari zuk di dalam sembahyang atau mencari zuk dalam berpuasa. Contohnya, seumpama kita sedang zuk di dalam keadaan berzikir, badan atau tubuh kita menjadi terangkat ke udara atau tubuh badan kita itu hilang buat seketika sampai tidak dapat dilihat oleh penglihatan mata manusia. Itu bukan erti zuk yang sebenar, itu adalah zuk ciptaan akal atau zuk yang dibuat-buat.

Ada sesetengah darinya setelah zuk dengan berzikir atau membaca mantera bertukar dirinya menjadi diri orang lain dan tidak kurang pula yang bercakap dengan loghat bahasa Siam atau bahasa Jawa. Ini di antara zuk yang dibuat-buat atau zuk yang direka-reka atau dipanggil-panggil.

Berbalik kepada pengertian zuk, erti zuk itu adalah hanya "ingat" kepada Allah. Erti Zuk itu bukan bertujuan untuk bercakap dalam loghat bahasa Siam atau Jawa dan zuk itu bukan bertujuan untuk diri jadi terangkat. Zuk itu adalah tahap di mana sampainya kita kepada tahap lupa atau lalai kepada diri sendiri. Zuk itu adalah ertinya supaya kita ingat kepada hanya Allah. Zuk, ingat kepada Allah itu sehingga sampai kepada tahap terlupa dan terlalai kepada diri sendiri dan terlupa serta lalai kepada yang lain selain Allah. Sebagai makhluk manusia, kita tidak terlepas dari ingat kepada perkara-perkara dunia. Saya juga makhluk seperti tuan-tuan, sifat semula jadi sebagai makhluk itu semestinya bersifat lalai. Saya juga tidak sepenuhnya berfikir untuk ingat kepada Allah sepanjang masa. Ada kalanya fikiran saya juga terggangu dan tidak sepenuhnya ingat kepada Allah. Akal kita tidak boleh ingat kepada dua perkara dalam satu masa. Untuk itu, jangan kita ingat Allah melalui akal. Jangan guna akal untuk ingak atau untuk zuk kepada Allah.

Seumpama di sepanjang perjalanan saya mengelilingi pulau-pulau di Tasik Chini dengan menggunakan bot, ingatan dan fikiran saya hanya tergambar kepada sejarah silam tentang naga. Setelah terlihat, terpandang dan ternampak perkampungan orang asli di persisiran tasik, dengan sendirinya ingatan saya kepada naga sudah hilang. Hilang zuk saya dari ingat kepada naga. Sememangnya di situ, saya juga terlupa kepada Allah. Lupa sememangnya pakaian kita sebagai makhluk manusia. Zuk yang dibuat-buat atau zuk yang direka-reka oleh akal itu adalah zuk yang berupa sementara.

Bila mana datang ingatan kepada yang lain, ingatan dan zuk kepada Allah Taala akan dengan sendirinya berlalu bersama-sama ingatan kepada perkara yang baru. Zuk bagi peringkat dibuat-buat itu selalunya datang dalam hayalan akal, di saat atau di ketika kita melayan perasaan semasa sedang berzikir atau bersolat, di dalam sedang kita berzikir atau di dalam keadaan kita sedang bersolat, datang suatu keajaiban tanpa kita sedari punggung kita terangkat ke udara atau tubuh badan (diri zahir) kita boleh hilang dan sebagainya.

Perkara-perkara seumpama itu bukannya tujuan asal zuk. Tujuan asal zuk kita itu adalah untuk ingat kepada Allah. Perkara-perkara yang mendatang dengan secara tiba-tiba itu adalah anugerah Allah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Ingat atau zuk kepada Allah itu bukan bertujuan untuk mendapat keajaiban atau kelebihan. Tujuan zuk itu adalah untuk ingat kepada Allah dan tidak ingat selain Dia. Zuk dan ingat kepada Allah itu bukan dalam bentuk sementara atau dibuat-buat, ingat dan zuk kepada Allah itu hendaklah dalam bentuk berpanjangan atau sepanjang saat, detik, masa dan ketika.

Di sini ingin saya ajukan pertanyaan kepada sidang pembaca sekalian, apakah sesudah berzikir atau sesudah solat itu kita tidak lagi perlu zuk kepada Allah? Apakah zuk kepada Allah itu hanya di ketika berzikir atau bersolat sahaja? Bagaimana dengan semasa sesudah berzikir atau sesudah bersolat, apakah tidak lagi perlu zuk kepada Allah?
Zuk bagi mereka-mereka yang seumpama itu adalah zuk bagi mereka-mereka yang duduk pada peringkat makrifat yang paling rendah. Zikir yang sampai kepada tahap zuk boleh terangkat, hilang diri, kebal dirinya sehingga tak lut ditetak, boleh tahu niat orang, biarpun belum diberi tahu dan sebagainya itu, itu adalah tahap makrifat yang paling rendah.

Inilah gambaran zuk sementara iaitu zuk yang dibuat-buat. Ada sesetengahnya setelah dibaca jampi atau mentera, tubuh mereka bertukar bahasa percakapan dengan bercakap dalam bahasa Jawa atau Siam. Ini juga diketagorikan dengan zuk tetapi zuk sementara. Sehingga mereka lupa kepada kewujudan diri sendiri, dengan mendakwa diri mereka adalah dari jawa atau dari Thailand, dari Gunung Jerai dan sebagainya. Ada yang mendakwa bergelar Hang Tuah, Hang Jebat, Wali songo atau Penglima Hitam dan sebagainya. Ini semua adalah tahap zuk yang dibuat-buat, bukan zuk kepada Allah.

Sekalipun kita membaca dengan bacaan "La ilaha illallah", atau bacaan dengan ayat-ayat suci. Mengikut suluhan ilmu makrifat Tok Kenali itu bukan dikatakan zuk kepada Allah. Kebanyakan dari kalangan kita menggunakan ayat-ayat suci bagi menggambarkan zuk, sesungguhnya itu bukanlah zuk. Tetapi sekarang ini kita menggunakan jampi serapah dengan ayat Al-Quran bagi menukar zuk kepada Allah kepada ingatan kepada Wali Songo, panglima hitam, kepada Khadam Khaidir dan sebagainya. Inilah zuk yang orang cari, iaitu zuk yang boleh membawa kebal dan boleh bertukar diri kepada diri orang lain dengan cara berzikir dan menyebut nama Allah.

Setelah penat memerah fikiran untuk mengarang, jam menunjukkan 7.46 pagi, saya mengambil kesempatan untuk menyelak langsir, terpegun penglihatan saya kononnya penginapan saya betul-betul di sebelah tasik. Terlihat kepulan kabus di atas permukaan air tasik. Sejuk angin di luar membuatkan saya terasa amat indah dan bahagia sekali. Begitulah indah dan bahagianya penghidupan naga-naga di masa silam agaknya. Saya lihat di tebing sana ada tongkang atau bot untuk disewa agaknya. Pasti nanti saya akan sewa untuk berkayak di sekitar tasik, jika diizinkan Allah.

Selepas saya meninjau-ninjau dengan pandangan mata dari beranda bilik penginapan, pada pendapat saya, saya dapati persekitaran Tasik Chini lebih cantik berbanding Tasik Bera. Saya masuk ke bilik lalu saya buat catatan ini dan sebentar lagi saya ingin berjalan-jalan di persekitran tasik. Nanti kita sambung lagi pengertian "zuk dibuat-buat" selepas saya meninjau persekitaran tasik lagenda naga! Amin.

Jam menunjukkan pukul 10.19 pagi, saya baru balik dari keliling tasik-tasik yang ada di Tasik Chini dengan menaiki bot. Di sini saya bukan berhajat untuk bercerita tentang perkelahan, apa yang hendak saya gambar dan sampaikan hasil dari pengalaman perjalanan saya sebentar tadi adalah berkenaan "zuk". Bila mana memandang di sekeliling tasik, hayalan fikiran saya hanya tertumpu kepada naga. Zuknya fikiran saya hanya menghayalkan naga. Fikiran saya mula belayar menggambarkan bagaimana di waktu itu naga sedang berjalan di celah-celah pulau pokok rumbia yang banyak di persekitaran tasik. Bagaimana naga sedang berenang di dalam tasik dan berjalan di sekeliling tasik dan bagaimana naga-naga yang lain berkeliaran di waktu itu. Biarpun cerita itu adalah cerita mitos namun sesiapa yang berada di situasi saya, saya kira fikiran mereka juga ke arah itu, maklumlah siapa yang tidak tahu cerita naga di Tasik Chini.

Zuknya fikiran saya sehingga hampir satu jam perjalanan menaiki bot, fikiran saya hanya zuk kepada hayalan kepada naga. Zuk itu, ertinya ingat kepada sesuatu sehingga tidak terlihat, terpandang dan tertoleh kepada selain darinya. Apa lagi zuk kepada Allah Taala. Setiap rumpun (pulau rumbia) saya teringat kepada naga. Celah-celah pulau yang jalannya hanya semuat bot kami, saya hanya ingat naga.

Hari ini tanggal 02 Oktober 2012, jam sedang menunjukkan pukul 5.00 pagi. Marilah kita sama-sama mengikuti pelajaran mengenal diri melalui kiasan garam dan mengenal Allah melalui kiasan masin. Sebelum itu, ingin saya ajukan satu persoalan. Soalannya berbunyi, kenapakah ikan tidak masin selama hidup berendam di dalam laut? Masinnya ikan itu, bila mana direndam dengan garam, kenapa ikan tidak masin bila mana berada di dalam lautan masin. Saya mahu tuan-tuan jawab, sebelum boleh meneruskan bacaan ilmu yang seterusnya.

Pelajaran ini, adalah satu pelajaran dan satu kiasan yang teramat besar bagi mengajar kita mengenal diri dan mengenal Allah Taala dengan nyata dan jelas. Sayangnya tidak ramai dari kalangan kita yang mahu berfikir dan mengambil iktibar darinya. Allah jadikan sedemikian rupa adalah semata-mata bagi mengajar kita erti mengenal diri dan mengenal Allah Taala. Bagi mereka-mereka yang berpandangan jauh, akan dapat mengambil iktibar melaluinya.

Ikan tidak masin selama berada di dalam lautan, sebabnya adalah kerana "ikan belum mati". Oleh kerana ikan belum mati dan kerana ikan masih hiduplah sebabnya ikan itu tidak masin semasa berada di dalam lautan masin. Setelah mati atau setelah berpisahnya nyawa dari jasad ikan, barulah ikan beroleh masin dan barulah ikan akan menjadi masin bila mana berada di dalam lautan.

Persoalannya di sini, apakah hubungan antara nyawa dengan masin?

Yang menerima masin itu adalah jasad, bukannya nyawa, nyawa tidak ada kena mengena dengan masin. Tetapi kenapa bila mana ikan masih bernyawa, jasadnya tidak boleh menerima masin. Bila mana ikan sudah mati dan setelah nyawanya bercerai dari jasad, barulah tubuh ikan itu boleh menerima masin, kenapa? Yang berendam di dalam lautan masin itu, adalah jasad ikan bukannya nyawa ikan. Kenapa ikan tidak boleh menerima masin bila mana adanya nyawa? Tubuh ikan hanya boleh menerima masin, setelah ketiadaan nyawa.

Cuba lihat bagaimana ikan yang sudah mati, pastinya akan menemui masin. Iktibar atau pengajaran "mati" yang dapat kita kutip dari kiasan ikan dengan garam itu sebenarnya adalah salah satu cara mengajar kita mengenal Allah. Kenapa ikan tidak boleh menerima masin? Persoalan ikan tidak boleh menerima masin adalah sama dengan persoalan kenapa kita tidak boleh mengenal Allah? Barang siapa tahu kenapa ikan tidak boleh menerima masih, mereka akan tahu kenapa kita tidak boleh mengenal Allah.

Ikan tidak boleh menerima masin, adalah kerana ikan belum sampai kepada tahap "mati". Begitu juga dengan kita, diri kita tidak boleh sampai kepada tahap mengenal Allah, adalah kerana diri kita masih belum sampai kepada tahap mati (matikan diri sebelum mati). Bila mana kita berjaya sampai kepada tahap mematikan diri sebelum kita mati, di situlah nantinya kita akan dapat sampai kepada tahap mengenal Allah Taala. Antara sebab kita tidak boleh sampai kepada tahap mengenal Allah itu, adalah kerana kita masih belum berjaya sampai kepada tahap mematikan diri. Sesudah sampainya kita kepada tahap "mematikan diri sebelum mati" dengan sebenar-benar sampai, barulah boleh kita mengenal Allah Taala dengan sebenar-benar kenal.

Setelah ikan sudah sampai kepada tahap mati, maka akan sampailah sifat masin kepada jasad ikan. Begitu juga kiasannya dengan diri kita. Bila mana sampainya kita kepada tahap "Al mutu kablaan tamautu" (matikan diri sebelum mati), barulah kita akan sampai kepada tahap mengenal Allah Taala. Setelah diri sudah sampai kepada tahap "mati sebelum mati", maka akan sampailah kita kepada tahap mengenal Allah. Oleh itu, barang siapa yang berhajat atau bercita-cita untuk sampai kepada tahap mengenal Allah Taala, seharus dan semestinya terlebih dahulu melalui proses mematikan diri sebelum mati.

Sebab tidak sampainya kita kepada tahap mengenal Allah itu adalah kerana tidak berjayanya kita untuk sampai kepada tahap mematikan diri. Setelah sampainya kita kepada tahap ilmu mati sebelum mati, barulah kita akan dapat sampai kepada tahap mengenal Allah dengan sebenar-benar mengenal. Sesudah matinya ikan, baru boleh menerima masin, sebegitulah juga dengan diri kita. Sesudah diri kita mati sebelum mati, barulah Allah itu akan dapat menghampiri, mendampingi, menyelubungi serta meliputi diri kita, dari situlah kita akan dapat mengenal Allah dengan nyata. Kita akan berjaya sampai kepada tahap mengenal Allah dengan nyata, setelah kita mengenal erti mati dengan rata. Untuk itu marilah kita belajar mengenal erti mati, "Al-mutu kablaan tamautu" (mati sebelum mati).

Untuk mengenal Allah itu, mari kita umpamakan diri kita seumpama garam dan mengenal Allah itu seumpama masin. Anggaplah diri kita ini garam. Kiranya kita hendak binasakan sifat garam ke dalam masin, campakkan garam ke dalam laut. Setelah garam kembali ke dalam laut, maka akan hilanglah sifat garam, setelah hilangnya sifat garam, maka kekallah ia dalam sifat masinnya. Begitu juga dengan diri kita.

Barang siapa yang berhajat untuk mengenal diri, hendaklah dia mematikan diri sebelum mati (membinasakan diri). Seumpama kiasan kita campak garam ke dalam laut. Setelah garam dipulangkan semula ke dalam lautan, barulah tidak lagi kelihatan garam, yang nyata hanyalah masin. Begitu juga dengan diri kita, barang siapa yang berhajat untuk mengenal diri, campakkan diri ke dalam lautan wajah Allah. Sifat garam atau sifat diri kita sebenarnya tidak ada, tidak wujud dan tidak maujud. Sebenarnya yang ada, yang wujud, yang ujud dan yang maujud itu, hanyalah masin.

Cuba tuan-tuan ambil seketul garam kasar. Saya mahu tuan-tuan genggam garam itu dan masukkannya ke dalam segelas air. Kerana "berketul" itulah makanya kita panggil ia dengan panggilan garam. Cuba larutkan garam ke dalam air, biar sifat ketulannya hilang, maka garam tidak lagi dipanggil garam, melainkan dipanggillah ia dengan panggilan masin.

Demikian juga dengan diri kita, kerana kita "bersifat" itulah makanya kita panggil diri. Cuba kita hilangkan sifat diri, cuba kita bayangkan yang diri kita itu mati. Setelah mati dan setelah ditanam ke dalam tanah, di manakah yang dikatakan diri? Sebenarnya diri kita tidak ada, diri kita sebenar-benarnya tidak ada. Sebenar-benarnya diri kita itu, tidak ada. Adanya sifat diri kita itu, hanyalah sekadar bersifat sebagaimanna sifatnya garam. Kiranya kita hanyalah sekadar bersifat sebagaimana sifatnya garam, kenapa kita masih mengaku yang kita itu ada? Sekiranya sifat garam tidak ada, maka sifat kita juga tidak ada. Kembalikan garam ke dalam laut dan kembalikan diri kita ke dalam Allah (Wajah Allah), Allah, Allah, Allah.

Akan saya sambung di lain kelapangan, jam sekarang sudah menunjukkan pukul 12.25 tengah hari.

Emel baru Haji Shaari : makrifattokkenali@gmail.com

Kepada sesiapa yang berhajat dengan izin Allah untuk mendalami ilmu makrifat Tok Kenali Kelantan, bolehlah berinteraksi secara online melalui Blog Makrifat Tok Kenali di alamat makrifattokkenali.com.

Tujuan karangan kitab ilmu Tok Kenali oleh Haji Mohd Yusof Cik Wook ini bukan bertujuan untuk membicara soal ilmu fekah, kerana persoalan ilmu fekah itu, sudah dibicara oleh banyak kitab, semerata orang dan di semerata pelosok dunia. Tujuan kitab ini dinukilkan adalah bertujuan untuk membawa tuan-tuan dan puan-puan sekalian belajar bagaimana cara-cara mengenal Allah dengan erti kata sebenar-benar mengenal dan membimbing tuan-tuan dan puan-puan sekalian cara-cara atau kaedah mengenal diri dengan sebenar-benar mengenal. Bukan setakat beristilah, bukan setakat usul dan sekadar slogan menyedap kata, tetapi ianya adalah sebenar-benar ilmu makrifat yang sebenar.

Kami percaya banyak artikel-artikel, buku-buku dan pelbagai cara media cetak telah ada membicarakan tentang ilmu makrifat, tetapi percayalah, di sini mungkin ada kelainan yang tidak ada dibicarakan di dalam sumber-sumber di atas. Maka dengan itu, sudilah kiranya saudara dan saudari semua sama-sama mengembara dan menerokai keajaiban ilmu makrifat dan bertanyalah sekiranya ada yang tidak jelas. Kami sedia menjawab segala pertanyaan dengan izin Allah Taala.

Ilmu makrifat adalah ilmu rohani, ilmu jiwa dan ilmu rasa, adalah mustahil ilmu-ilmu sebegini boleh dilihat dengan jangkauan akal manusia biasa. Ia merupakan sesuatu anugerah Allah SWT kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan ilmu ini tidak dapat diperolehi melalui pelajaran di sekolah-sekolah dan tidakpun ada di dalam mana-mana sukatan mata-pelajaran melainkan ianya hanya ada di dada para mukmin.

Ia merupakan sesuatu ilmu anugerah Allah yang menyentuh, merobek, menyiat dan meleburkan hati. Di mana ilmu ini dapat membawa dan membimbing kita ke jalan "mati sebelum mati". Setelah menemui ilmu mati, barulah ilmu hidup yang sebenar-benar hidup itu dapat dimengerti.

Ilmu ini, adalah ilmu rasa, hanya orang yang minum sahaja yang akan dapat tahu manis atau masinnya air. Ilmu ini adalah ilmu mencari kaedah dan bukannya ilmu mencari faedah. Ilmu ini, adalah ilmu yang bukan mencari syurga, bukan mencari pahala atau bukan mencari ganjaran. Ilmu ini adalah ilmu mencari ikhlas. Ilmu ini adalah ilmu mencari "diri yang dicari", yang menilik itu adalah diri yang ditilik, yang memangil itu adalah diri yang dipanggil, yang menyembah itu adalah juga diri yang disembah.

Persoalannya, adakah anda tergolong di dalam orang-orang yang terpilih dan dianugerahi Allah dengan ilmu ini? Bagaimana untuk mengetahui bahawa sekiranya anda tergolong di dalam kategori di atas? Mari kita selaminya melalui Kitab Mengenal Allah dan Kitab Mengenal Diri Tok Kenali Kelantan. Untuk mendapatkan kedua-dua kitab itu, sila hubungi terus melalui talian telefon Hj. Shaari Hj. Mohd Yusof iaitu 019-4444713, 019-3010117 atau 017-9106011.

Sebarang komen atau teguran yang membina amat-amat saya alu-alukan. Kitab ini adalah nukilan makrifat atau tasawuf, segala pandangan atau teguran hendaklah berlandaskan kepadanya. Jangan membuat pandangan melalui sudut fekah. Kiranya pandangan dari sudut fekah, ia boleh melibatkan tafsiran yang tidak tepat mengikut sudut makrifat. Makrifat itu bidang ilmu yang halus dan dalam, hendaknya bila mana membuat teguran atau komen hendaklah terlebih dahulu pastikan yang ianya berlandaskan ilmu makrifat, bukannya pandangan dari sudut ilmu fekah. Rosaknya ilmu makrifat itu, adalah datangnya dari teguran orang fekah. Untuk itu, marilah kita sama-sama dukung ilmu makrifat ini dan tempatkannya pada selayaknya ia ditempatkan, amin.
 
JENIS BUKU

Ilmu Tok Kenali Kelantan mempunyai 2 buah kitab, iaitu:

1) Ilmu Mengenal Allah Tok Kenali Kelantan
2) Ilmu Mengenal Diri Tok Kenali Kelantan

Kitab ketiga akan menyusul tidak berapa lama lagi dengan tajuk "TERKUBURNYA ILMU MAKRIFAT TOK KENALI". Sama-samalah kita tunggu kehadirannya yang membicarakan sebab apa ilmu makrifat itu terkubur? Sedangkan ilmu makrifat itu adalah satu cabang ilmu yang fardu (wajib), sebagaimana wajibnya ilmu-ilmu yang lain. Tetapi sayangnya, ke mana hilangnya ilmu makrifat? Ke manakah terkuburnya ilmu makrifat?

Ulama fekah hanya pandai menuduh salah atau menuduh sesatnya ilmu makrifat, tetapi sekiranya benar ilmu makrifat itu salah atau sesat, cuba ulama-ulama kita sekarang ini kemukakan ilmu makrifat yang benar-benar betul? Saya berseru kepada pakar-pakar ulama supaya mengajar cara mengenal Allah, cara megenal diri, cara hakikat sembahyang, cara hakikat air sembahyang, cara hakikat niat dan hakikat kalimah syahadah. Syarahan atau ceramah itu hendaklah berdasar atau berlandaskan sudut ilmu hakikat dan makrifat. Ramai yang sudah muak dan jemu dengan ceramah berbentuk syariat atau fekah. Seolah-olah agama Islam itu suatu yang statik. Mari kita sama-sama memartabatkan ilmu syariat dengan menambah nilai atau tingkatkan ilmu syariat itu dengan nilai yang lebih tinggi melalui ilmu hakikat.

Bukan untuk meninggalkan ilmu syariat, tetapi dalam erti kata kita menambah nilaikan ilmu syariat melalui cara ilmu hakikat. Syariat itu adalah ilmu asas, manakala ilmu makrifat itu adalah ilmu teras. Asas dan teras hendaklah bersama. Selama mana kita hendak belajar ilmu asas, dari kecil sampailah kepada umur 70 atau 80 tahun, kita hanya disogokkan dengan ilmu fekah atau syariat. Bilakah agaknya masa yang sesuai untuk kita dalami ilmu makrifat? Apakah menunggu sehingga kita dimasukkan ke dalam liang lahad? Sedarlah wahai sahabat-sahabat dan musliman serta muslimat sekalian, bahawasanya tidak akan ada seorang ustazpun yang akan datang ke dalam kubur untuk mengajar tuan-tuan akan ilmu makrifat. Sehubungan dengan itu, marilah kita belajar ilmu makrifat, semasa hayat masih dikandunng badan. Sampai bilakah hendak kita memartabatkan ilmu makrifat agar kedudukannya boleh duduk sebaris dengan ilmu fekah dan ilmu syariat? SAMPAI BILA?

Kepada semua ulama makrifat, saya mewakili guru-guru terdahulu dan bagi pihak arwah Tok kenali Kelantan, supaya sama-sama memperjuangkan ilmu makrifat sebaris dengan perjuangan ilmu syariat. Cukuplah kita biarkan ilmu makrifat itu terkubur dengan begitu sahaja tanpa ada pembelaan. Pertaruhan dalam memperjuangkan ilmu makrifat itu adalah nyawa. Patah sayap dengan paruh akan kutongkat demi makrifat kepada Allah. Saya dengan rasa rendah diri dan sekecil-kecil hamba, ingin menyampaikan seruan ini kepada sekalian budiman yang ada, marilah kita sama-sama memartabatkan ilmu makrifat sebagaimana permulaan perpindahannya baginda Rasulullah dari Kota Mekah ke Kota Madinah.

Baginda Rasulullah memperjuangkan asas makrifat dengan menanam bibit-bibit makrifat ke dalam hati para sahabatnya seumpama apa yang berlaku kepada sahabatnya Bilal bin Rabbah, sehinggakan rasa percaya kepada Allah itu atau rasa makrifat kepada Allah itu, tidak terjual dengan nyawa. Tetapi, ke manakah terkuburnya ilmu makrifat itu? Di mana dan ke manakah terkuburnya ilmu makrifat? Untuk mendapatkan jawapan itu, tunggulah penerbitan kitab ketiga Hj. Shaari Hj. Mohd Yusof (019-4444713).

Sekiranya tuan-tuan dan puan-puan, benar-benar ingin mendalami ilmu peninggalan Tok Kenali yang sebenar, milikilah rakaman video ceramah Hj. Shaari dalam bentuk DVD. Sekeping DVD berharga RM10.00 dan koleksi ceramah yang terpilih ada 15 keping. Tuan-tuan tidak akan menyesal bila menontonnya. DVD ceramah itu penuh dengan ilmu yang tidak dapat disampaikan melalui tulisan di dalam kitab.

Ikhlas dari saya Hj. Shaari.

Amin.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian. Di kesempatan yang sesempit ini, ingin saya mengambil kesempatan bagi mengajak tuan-tuan dan puan-puan sekalian untuk mengetahui 2 perkara, iaitu:

1) Bagaimanakah caranya untuk "ingat" kepada Allah Taala?
2) Bagaimanakah caranya untuk "mengenal" Allah Taala?

Contohnya, semasa tuan-tuan dan puan-puan mengangkat takbir semasa bersolat, tuan-tuan menyebut perkataan "Allahu Akbar", semasa tuan-tuan menyebut perkataan "Allahu Akbar", bagaimanakah caranya tuan-tuan ingat kepada Allah?

Bagaimanakah caranya untuk ingat kepada Allah sedangkan Allah itu tidak boleh untuk kita gambar-gambarkan, bayang-bayangkan, kenang-kenangkan, wajah-wajahkan dan rupa-rupakan dengan seumpama. Apa yang kita bayang-bayangkan itu bukan Allah. Apa yang kita kenang-kenangkan itu bukan Allah. Apa yang kita wajah-wajahkan atau rupa-rupakan itu bukan Allah. Apa sahaja lintasan atau yang terlintas di hati itu bukan Allah. Kiranya semua itu bukan Allah, bagaimanakah caranya untuk kita ingat dan mengenal kepada Allah? Sekiranya tuan-tuan tidak boleh ingat kepada Allah semasa bersolat atau bertakbir, bagaimanakah caranya tuan-tuan kosad atau untuk bertasdik bagi meletakkan Allah di dalam hati? Bagaimana untuk meletakkan Allah ke dalam hati, kiranya yang dikosad dan yang ditasdikkan itu tidak kita ingat? Bagaimanakah caranya untuk ingat kepada Allah?

Semua yang kita ingat, gambar, bayang, kenang, rupa-rupakan atau wajah-wajahkan itu bukan Allah. Allah tidak boleh diwajah-wajahkan, kerana Allah itu bukan bersifat jirim. Apa yang kita bayang-bayangkan itu bukan Allah, sifat Allah itu, bukan berjisim atau berjirim. Kiranya sifat Allah itu tidak berjirim atau berjisim, bagaimana caranya untuk ingat kepada Allah? Allah bersifat "laisa kamislihi syaiun" iaitu "Allah itu, bersalahan dari yang baharu ataupun Allah itu tidak sama dengan sifat makhluk". Selagi ada yang bersamaan atau selagi kita samakan sifat Allah dengan sifat makhluk, itu bukan Allah.

Selagi kita dapat bayangkan wajah Allah, itu bukan Allah. Selagi kita dapat kenangkan sifat Allah, itu bukan Allah. Selagi kita dapat ingat-ingatkan rupa bentuk Allah, itu bukan Allah dan selagi apa yang terlintas di dalam hati kita itu, itu bukan Allah. Sekiranya semua yang tersebut itu bukan Allah, bagaimanakah caranya untuk kita ingat kepada Allah? Sekiranya Allah itu boleh kita bayang-bayangkan, kenang-kenangkan, wajah-wajahkan dan selagi Allah itu sama dengan sifat makhluk, bererti itu bukan Allah.

Kiranya Allah, Tuhan yang hendak kita sembah itu tidak kita kenal, bagaimanakah caranya tuan-tuan hendak sembahyang (solat)? Sedangkan sembahyang itu adalah bertujuan untuk menyembah Allah. Bagaimana untuk kita meyembah Allah sedangkan Allah yang hendak kita sembah itu tidak kita kenal? Cuba tuan-tuan dan puan-puan jawab soalan saya ini dengan jujur dan dengan bersikap ikhlas kepada diri sendiri, biarpun saya tidak nampak tuan-tuan. Bagaimanakah cara tuan-tuan menyembah Allah semasa bersolat, kiranya Allah yang tuan-tuan hendak sembah itu, tidak tuan-tuan kenal? Bagaimana untuk ingat kepada Allah, sedangkan Allah belum tuan-tuan kenal?

Tujuan kita mendirikan sembahyang adalah bertujuan untuk ingat atau untuk menyembah Allah. Seumpama kita diperintah untuk menghadap raja atau sultan, pastinya kita terlebih dahulu tentukan yang sultan atau raja itu kita kenal dan ada di hadapan kita, baru kita sembah menjunjung duli dengan penuh yakin. Kiranya singgahsana tempat bersemayamnya raja tidak bertuan, apakah tuan-tuan mahu sembah kerusi kosong? Sanggupkah tuan-tuan sembah kerusi kosong? Sudah tentu tuan-tuan tidak sebodoh itu. Kiranya tuan-tuan tidak sebodoh itu, kenapa Allah disembah dengan tidak terlebih dahulu mengenal? Sedangkan raja yang bersifat sesama makhluk, kita dikehendaki menentu dan memastikan terlebih dahulu keberadaan raja, inikan pula Allah Azawajalla.

Sebelum kita mendirikan sembahyang (solat), hendaklah kita terlebih dahulu menyatakan Allah dengan senyata-nyatanya, sejelas-jelasnya dan seterang-terangnya, baharu sempurna ibadah solat. Tanya diri sendiri, apakah tuan-tuan sudah nyata Allah atau apakah selama ini tuan-tuan bersembahyang dengan tidak nyata Allah? Bila mana tidak nyata Allah ertinya tidak ingat Allah, bila mana tidak ingat Allah, ertinya tuan-tuan sembahyang untuk menyembah siapa?

Sekarang saya mahu tuan-tuan berhenti dari membaca karangan ini, saya mahu tuan-tuan dan puan-puan ambil sekeping kertas dan masing-masing tulis cara-cara ingat kepada Allah Taala secara jujur kepada diri sendiri biarpun saya tak nampak tuan-tuan menulis. Sekiranya tuan-tuan ingin mendapat keberkatan ilmu Tok kenali dan untuk mendapat petunjuk Allah, saya minta tuan-tuan bersikap jujur dan tulislah apa yang saya sarankan. Itulah cara belajar yang ikhlas, walaupun saya tidak nampak, sesungguhnya Allah nampak kejujuran tuan-tuan. Selepas semuanya sudah tercatat di atas kertas, sekarang bolehlah sambung bacaan tuan-tuan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian. Biarpun saya tidak baca dan tidak nampak apa yang tuan-tuan dan puan-puan tulis, namun dari gerak rasa yang saya miliki, saya dapat teka apa yang anda tulis. Rata-rata menulis bahawa untuk ingat kepada Allah itu, adalah melalui cara zikir, solat, puasa, bersedekah, pergi masjid dan seumpamanya. Kiranya itu jawapan tuan-tuan, bererti tuan-tuan gagal. Zikir, solat, puasa dan pergi ke masjid itu bukan tanda ingat kepada Allah. Mari saya kupas satu persatu, apa itu zikir, apa itu solat, apa itu puasa dan apa itu masjid?

Zikir itu bahasa Arab dalam bahasa Melayu ertinya "ingat". Zikir ertinya ingat. Bagaimanakah caranya tuan-tuan dan puan-puan ingat kepada Allah, sedangkan Allah yang tuan-tuan hendak ingat itu, tidak tuan-tuan dan puan-puan kenal? Perkara ingat kepada Allah itu adalah datangnya sesudah mengenal. Tidak ada seorangpun di antara makhluk manusia, yang boleh ingat kepada perkara yang belum mereka kenal. Kita sebagai makhluk manusia hanya boleh ingat kepada sesuatu yang sudah kita kenal, begitu juga dengan Allah. Allah itu boleh diingat setelah kita mengenal.

Apakah dengan kaedah menyebut nama Allah seumpama perkataan "Allahu Akbar" yang keluar dari bibir mulut itu menandakan kita sudah ingat atau mengenal Allah? Perkataan yang keluar dari bibir mulut kita itu adalah berupa "suara". Manakala suara itu adalah bersifat makhluk bukannya Allah. Allah bukan berupa suara dan Allah bukan bersifat huruf yang keluar dari kedua bibir mulut. Perkataan Allah yang kita sebut itu bukan Allah. Allah bukan sama sifat-Nya sebagaimana suara bibir mulut makhluk. Kiranya semua bukan Allah, bagaimanakan caranya tuan-tuan dan puan-puan ingat Allah Taala?

Allah tidak serupa dengan makhluk. Allah itu tidak berhuruf, tidak bersuara, tidak berjirim dan tidak berjisim. Apa-apa yang berhuruf, yang bersuara, yang berjirim dan yang berjisim itu, bukan Allah. Allah bukan suara makhluk dan Allah bukan huruf yang tertulis di dinding-dinding rumah. Untuk itu, bagaimanakah caranya untuk ingat dan mengenal kepada Allah Taala? InsyaAllah, mari kita sama-sama mencari jawapan itu dalam Kitab Tok kenali Kelantan.

Khas buat muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian. Saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan-puan sekalian mengenal Tok Kenali. Sebenarnya ramai yang tidak mengenali siapa itu Tok Kenali sebenarnya. Melalui penelitian saya, pertamanya, keterangan di kebanyakan laman web dan buku-buku yang menceritakan kisah-kisah Tok Kenali telah banyak bercanggah dari kenyataan sebenar. Kedua, kebanyakan penerbit-penerbit buku Tok kenali, rata-rara hanya bercerita tentang kehebatan, kewalian dan kekeramatan Tok Kenali.

Sayangnya tidak seorangpun di antara yang ramai itu membicarakan tentang kehebatan ilmunya. Tuan-tuan dan puan-puan, hebat dan tersohornya Tok Kenali itu, bukan terletak pada kewalian atau kekeramatanya, tetapi hebat dan tersohornya Tok Kenali itu, adalah pada "ilmu makrifatnya".

Hebat dan tersohornnya Tok Kenali itu, bukan terletak pada kewalian atau kekeramatannya. Hebatnya Tok Kenali itu, adalah terletak pada "ilmu makrifatnya", tetapi yang menjadi persoalannya di sini, siapakah "tahu" dan siapakah yang "berani" mempamer atau memperzahirkan Ilmu Makrifat Tok Kenali?

Hebatnya Tok Kenali bukan terletak pada zikir atau amalannya. Berbanding dengan zikir Tok Kenali, zikir dan amalan orang lain terlebih hebat dari Tok kenali. Tok kenali hanya mengamal "selawat" dan membaca ayat "Al-Ikhlas" sahaja. Itulah zikir dan itulah amalan Tok Kenali, sedangkan orang lain terlebih hebat dari Tok Kenali. Saya kira lebih hebat orang zaman sekarang berbanding Tok Kenali. Cuba tuan-tuan baca sejarah Tok Kenali, apakah hebatnya Tok Kenali yang menyebabkan namanya tersohor di serata nusantara? Kita semua tahu kehebatan, ketinggian dan kemasyhuran Tok Kenali, tetapi saya ingin tanya kepada tuan-tuan, apakah kelebihan Tok Kenali? Sungguhpun tuan-tuan dari keturunan darah Tok Kenali sendiri.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian, ketahuilah olehmu bahawa kehebatan atau tersohornya Tok Kenali itu adalah pada ilmu makrifatnya? Tetapi yang menjadi tanda tanya, ke manakah hilangnya ilmu makrifat Tok Kenali? Mana kitab, mana buku, mana orang, mana hikayat dan mana sejarah yang menceritakan soal "ilmu makrifat" Tok Kenali? Kehebatan Tok Kenali telah dinukil dalam buku sejarah Tanah Melayu. Semua orang tahu kehebatan itu, tetapi kehebatan sebenar Tok Kenali itu jauh lebih hebat dari namanya sendiri.

Pernahkah tuan-tuan terbaca ada orang yang menceritakan tentang ilmu makrifatnya? Baik berupa risalah, majalah, surat khabar, buku atau dari mulut orang? Pada hemat saya yang sudah sekian lama berkecimpung dalam bidang ilmu makrifat, tiada satu dan tiada seeorangpun yang menceritakan tentang kehebatan Tok Kenali dari segi ilmu makrifat melainkan kebanyakannya hanya mengkhabarkan dari segi ketokohan dalam bidang kewalian dan kekeramatannya. Persoalannya, ke manakah hilangnya ilmu itu? Baik dari segi pengkaji sejarah, yang hanya dikaji atau yang diselidiki itu adalah mengenai sejarah hidup dan kehebatan walinya.

Untuk itu, bagi para pengkaji dan penyelidik yang berminat untuk mengkaji dan menyelidik ilmu makrifat Tok Kenali, inilah tempatnya dan inilah gedung ilmunya. Bagi sesiapa yang berhajat untuk mengetahui dan mendalami kehebatan sebenar Tok Kenali, mari sama-sama kita hayati bidang ilmu makrifatnya. Inilah tempat dan inilah medannya bagi membicarakan tentang sebenar-benar kehebatan Tok Kenali khasnya dalam bidang ilmu tasawuf dan bidang ilmu makrifat.

Oleh itu, untuk mengetahui dengan lebih terperinci dan lebih mendalam akan rahsia di sebalik ketokohan ilmu Tok Kenali, dengan rasa rendah diri, saya menyeru dan merayu kepada seluruh para pengemar ilmu makrifat sekalian, sama ada di Malaysia khasnya, mahupun yang berada di Brunei, Indonesia, Selatan Thailand dan di seluruh nusantara ini amnya, marilah kita sama-sama layari Blog Makrifat Tok Kenali.

Kebenaran dan kesahihan cerita ketokohan ilmu makrifat Tok Kenali ini akan dinukilkan sendiri dari mulut anak murid sejati Tok kenali Kelantan yang bernama Tuan Guru Haji Mohd Yusof Bin Cik Wook yang dilahirkan di Kampung Banggol Cica, Pasir Mas, dan membesar di Kampung Dalam Rhu, Tumpat, Kelantan. Secara kebetulan telah ditakdirkan dan diwariskannya pula ilmu makrifat Tok Kenali itu kepada salah seorang dari anak kandung darah dagingnya sendiri iaitu Haji Shaari Bin Haji Mohd Yusof.

Ilmu Allah itu sebenarnya bukan harta pusaka yang boleh diwarisi oleh anak cucu. Ilmu Allah itu hanya akan diberi kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dengan kehendak Allah dan berserta dengan takdir-Nya, darah ilmu makrifat Tuan Guru Mohd Yusof Cik Wook yang diwarisi dari Tok Kenali itu, secara tidak disedari dan secara tidak sengaja, telah mengalir pula ke dalam tubuh anakandanya Haji Shaari sebagai pewaris tunggal. Segala rahsia ilmu kemakrifatan Tok Kenali telah diperturunkan seratus persen ke pengetahuan kalbu Tuan Guru Mohd Yusof. Manakala segala ilmu makrifat yang ada di dada Tuan Guru Mohd Yusuf Cik Wook pula dengan sempurna diperturunkan ke dalam dada kalbu si anak.

Ajukanlah sebarang pertanyaan yang selama ini terbuku di hati tuan-tuan ke blog ini, mudah-mudahan dengan izin Allah, akan saya jawab, sebagaimana jawapan yang tersemai dalam lubuk kalbu Tuan Guru Mohd Yusof Cik Wook.

Seumpama ilmu, cara-cara mengenal Allah, cara-cara mengenal diri, cara-cara mematikan diri sebelum mati (cara mengembalikan diri kepada Allah Taala), rahsia di sebalik ibadah wuduk yang sebenar-benar suci (sebenar-benar air sembahyang), cara memahami sifat 20 yang sebenar (yang bukan sekadar hafal), rahsia di sebalik kalimah syahadah (bukan sekadar lafazan bibir), cara mana untuk menyatakan Allah (mendatangkan wajah Allah dalam sembahyang), dan cara mana untuk mendatangkan khyusuk dalam ibadah sembahyang.

Kiranya tuan-tuan dan puan-puan berhajat dengan izin Allah, jawapan kepada persoalan di atas akan lebih terjawab melalui 2 kitab ilmu Tok Kenali. Kitab Ilmu Tok Kenali Kelantan mempunyai 1000 kelainan dari kitab-kitab yang lain dan yang mungkin tidak akan didapati dari mana-mana kitab. Ia merupakan sesuatu ilmu yang menyentuh hati, di mana ilmu ini dapat membawa kita lebih mengenali diri sendiri dan mengenali mengenal Allah dengan sebenar-benar mengenal.

MKRdezign

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget