Ketika keluar dari penjara itu, Zun Nun tiba-tiba tergelincir dan dahinya terluka. Diriwayatkan bahawa lukanya itu banyak mengeluarkan darah tetapi tidak setitis pun yang mengotori muka, rambut mahupun pakaiannya. Setiap titik darah yang terjatuh ke tanah akan hilang tanpa meninggalkan bekas dengan izin Allah. Kemudian Zun Nun dibawa menghadap khalifah, dia mesti menjawab segala tuduhan yang dikenakan pada dirinya. Maka, dijelaskannya tentang ajaran Islam yang sebenar sehingga Mutawakil menangis tersedu-sedu manakala menteri-menterinya kagum mendengar kefasihan Zun Nun bercakap. Khalifah menganugerahkannya dengan kehormatan yang besar.

Pengajaran:

Pengajaran yang dapat kita kutip melalui cerita di atas ialah dalam kita menjadi seorang guru agama terutama guru ilmu makrifat, kita tidak terlepas dari difitnah dan dituduh sesat sebagaimana yang berlaku kepada Zun Nun. Biarpun kita tahu Zun Nun itu wali Allah yang karomahnya tinggi tetapi juga tidak terlepas dari difitnah. Namun pengajaran yang dapat kita kutip dari cerita di atas bahawa kebenaran akan menyebelahi orang-orang yang benar. Mungkin salah atau sesat pada hari ini, lama-kelamaan ilmu yang baik itu akan terbukti juga akhirnya. Mungkin hari ini orang tidak terima ilmu ini, percayalah suatu hari kelak, ilmu inilah yang dicari-cari dan yang menjadi rebutan. Lihatlah para wali-wali dulu, rata-rata mereka telah mendapat kejian, cercaan dan menjadi cemuhan di suatu ketika mulanya. Ternyata sekarang ini, wali yang kita keji suatu ketika dulu telah menjadi bahan rujukan oleh seluruh umat Islam. Inilah yang hendak dikhabarkan melalui kisah Zun Nun ini.